Thursday, August 1, 2013

Makna Tamadun
Perkataan tamadun berasal daripada bahasa Arab, iaitu daripada perkataan mudun dan madain. Satu lagi perkataan Arab yang mempunyai kaitan dengan perkataan tamadun ialah madana yang mempunyai dua maksud, iaitu tinggi budi bahasa dan pembukaan bandar. Perkataan daripada bahasa inggeris yang mempunyai persamaan makna dengan tamadun ialah civilization yang berasal daripada bahasa Greek, iaitu civitas yang bermaksud bandar. Tamadun juga boleh diertikan sebagai peradaban.
  Setiap masyarakat di dunia mempunyai definisi mereka yang tersendiritentang konsep tamadun. Bagi masyarakat Barat, tamadun dikaitkan dengan pembangunan lahiriah terutamanya dalam hal-hal kebudayaan seperti penulisan, undang-undang, kesenian dan pembandaran. Menurut pandangan beberapa sarjana Barat, misalnya, Gordon Childe, pencapaian lahiriah merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat. Darcy Riberio dan R.A.Buchanan pula menolak unsur rohaniah sebaliknya hanya menekankan kepentingan dan pembangunan lahiriah dalam proses perkembangan tamadun.
  Menurut Islam, tamadun mestilah merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah. Oleh itu, Islam menekankan pembangunan lahiriah dan rohaniah. Mengikut pandangan Syed Naquib al-Attas, tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur oleh sesebuah masyarakat. Pandangan sarjana Islam ini turut disokong oleh sarjana Barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah sangat penting dalam konsep tamadun.

Ciri-ciri tamadun 
Usaha manusia untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia bergantung pada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-kedua aspek ini.
  Kewujudan petempatan kekal merupakan salah satu ciri utama kemunculan tamadun. Kehidupan secara menetap membawa kepada corak hidup yang lebih sistematik untuk memastikan kelangsungan bekalan makanan. Hasil inovasi manusia kemudiannya melahirkan kemajuan dalam pertanian, iaitu dari segi penanaman dan penyimpanan makanan serta penternakan binatang. Contohnya ialah penciptaan peralatan baru seperti cangkul dan penggunaan teknologi seperti sistem pengairan yang baik. perkembangan ini telah meningkatkan pengeluaran dan membawa kepada lebihan pengeluaran. Lebihan ini telah dapat menampung pertambahan jumlah penduduk disebabkan adanya bekalan makanan yang berterusan.
  Peningkatan jumlah penduduk membawa kepada sebuah kehidupan berorganisasi yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan politik untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran kehidupan mereka. Pada peringkat awal, organisani sosial atau masyarakat yang wujud adalah pada tahap yang paling ringkas, iaitu sistem keluarga.Sistem sosial atau sistem masyarakat tamadun awal selalunya berbentuk piramid dan bersusun lapis.Lapisan paling atas merupakan golongan bangsawan dan lapisan terakhir ialah golongan hamba.
  Sistem pemerintahan mula dibentuk untuk menjalankan pentadbiran. Seseorang pemimpin ataupun raja selalunya menggunakan unsur magis dan mendakwa dirinya sebagai wakil tuhan demi mendapatkan pengiktirafan sebagai ketua pemerintah. Kewujudan sistem pemerintahan membawa kepada kelahiran sistem perundangan.
  Peningkatan dalam produktiviti manusia menyebabkan pengkhususan pekerjaan yang boleh menghasilkan kemakmuran dan kestabilan politik yang secara langsung akan membawa pula kepada peningkatan dan perkembangan ekonomi. Barangan dihasilkan malalui pengkhususan dan kepakaran akan menghasilkan pertukaran barangan yang dikenali sebagai sistem berter. Aktiviti pertukaran barangan membolehkan berlakunya pertukaran ilmu pengetahuan, teknologi, dan budaya.
  Agama dan kepercayaan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tamadun. Proses kemunculan tamadun bermula apabila manusia mencuba untuk memahami dan menyesuaikan kehidupannya dengan alam sekeliling. Alam sekitar seperti pokok, bayu, matahari, dan laut depercayai mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan kemakmuran hidup. Manusia percaya bahawa terdapat kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling yang dikenali sebagai animisme. Politeisme bermakna penyembahan terhadap lebih daripada satu tuhan.
  Penciptaan bahasa dan sistem tulisan adalah sebahagian daripada perkembangan ilmu pengetahuan. Antara bahasa tertua termasuklah Yunani dan Sanskrit manakala contoh sistem tulisan awal ialah hieroglif, cuneiform dan ideogram. Penghasilan sistem tulisan amat penting untuk tujuan urusan pentadbiran seperti penyimpanan rekod, penulisan, undang-undang, dan hal-hal keagamaan.
  Bandar memainkan perana penting sebagai pusat pentadbiran, pusat aktiviti ekonomi, pusat penyembahan dan ritual, pusat perkembangan ilmu pengetahuan, dan pusat pertemuan masyarakat.

1 comment:

  1. Casino of the day 17-18 - Mapyro
    See all Casino of 안성 출장안마 the day 17-18 안산 출장안마 including 안동 출장마사지 price, hours, phone number, Mapyro in New Jersey is 밀양 출장샵 located in New Jersey. 부천 출장안마

    ReplyDelete